KUCHING, 3 Mac: Tempoh pendaftaran pendatang asing tanpa izin (PATI) oleh majikan dilanjutkan sehingga 30 Jun 2024, kata Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala.
Pelanjutan di bawah Program Rekalibrasi Tenaga Kerja 2.0 Sarawak, beliau berkata tempoh verifikasi turut dilaniutkan sehingga 30 September 2024 manakala tempoh pengeluaran Pas Lawatan Kerja Sementara dilanjutkan sehingga 31 Disember 2024.
“(Ini) selaras dengan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Antara Menteri Dalam Negeri dan Menteri Sumber Manusia mengenai Pengurusan Pekerja Asing kali ke-10, Bil. 1 Tahun 2024,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Justeru, beliau menyeru majikan untuk mengambil peluang tersebut untuk mendaftarkan PATI di Sarawak sebagai sumber tenaga kerja.
Gerawat berkata lagi, ini adalah untuk memastikan pengambilan pekerja asing adalah sah dan teratur, selain bagi mengelak tindakan penguatkuasaan.
“Bagaimanapun, permohonan adalah tertakluk kepada syarat-syarat kelayakan yang ditetapkan dalam program ini.
“Oleh itu, semua majikan dan PATI berkaitan diminta untuk menyertai Program Rekalibrasi Tenaga Kerja 2.0 dengan berurusan secara terus dengan pihak Jabatan Imigresen Malaysia dan Jabatan Tenaga Kerja di Sarawak,” katanya. – TVS



