KUCHING, 3 Mac: Dua pusat pemindahan sementara (PPS) mangsa banjir ditutup petang ini.
Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak, Dewan Serbaguna Kampung Lintang Baru, Siburan ditutup 4 petang, manakala Balai Raya Kampung Betong Kanowit di daerah sama, ditutup pada 3 petang.
Dengan perkembangan itu, PPS yang masih beroperasi setakat 4 petang ialah 12 tempat sejak banjir melanda pagi semalam.
Jumlah mangsa banjir di PPS berkurangan kepada 1,452 orang berbanding 1,511 orang pada 12 tengah hari.
Tiga PPS yang menempatkan jumlah mangsa tertinggi ialah di Kuching iaitu Dewan R-Piang Kampung Sinar Budi Baru dengan 297 mangsa, diikuti SJK (C) Chung Hua Sungai Tengah (269) dan Dewan Masyarakat Stapok (238).
Ketika ini kesemua PPS yang menempatkan mangsa banjir meliputi beberapa kawasan di selatan Sarawak iaitu Kuching, Lundu, Bau, Serian dan Siburan.
Menerusi laman sesawang Jabatan Meteorologi Malaysia, cuaca di negeri ini diramalkan ribut petir di satu atau dua tempat di kawasan pedalaman pada petang, manakala hujan di satu atau dua tempat di kawasan pedalaman pada sebelah malam.


