IPOH, 3 Mac: Seramai 20 penumpang sebuah bas ekspres nyaris maut selepas kenderaan dinaiki mereka itu terbabas dan terbalik ke dalam parit di tepi jalan di Kilometer 20, Jalan Sitiawan-Ipoh di Manjung dekat sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner (ACP) Mohamed Nordin Abdullah berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian yang membabitkan bas dari Sitiawan menghala Ipoh itu pada 5.36 petang.
Ujarnya, kemalangan dipercayai berlaku apabila bas dipandu lelaki berusia 41 tahun tidak sempat mengelak sebuah pikap dipandu lelaki 63 tahun dari arah sama.
“Pikap itu dikatakan mengubah haluan dari kanan ke kiri jalan dan memasuki laluan sah bas.
“Akibat terlalu dekat, bas terlanggar pikap di belakang sebelah kiri sebelum terbabas ke dalam parit di kiri jalan,” katanya dalam kenyataan.
Tambah beliau, insiden itu menyebabkan pemandu bas dan pikap tersebut mengalami kecederaan.
“Seramai 20 orang penumpang bas terdiri daripada 11 perempuan berumur 17 hingga 47 tahun dan sembilan lelaki berusia 19 hingga 63 tahun turut cedera.
“Kesemua mangsa dihantar ke Hospital Seri Manjung untuk rawatan lanjut,” katanya lagi.
Ujar Mohamed Nordin, pihaknya meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian itu untuk menghubungi pegawai penyiasat trafik, Inspektor Muhammad Asyraf Henry Philip di talian 016-557 2540 untuk membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – TVS



