KUCHING, 2 Mac: Sarawak dipilih sebagai tuan rumah Majlis Sambutan Hari Penjara Ke-234 berikutan negeri ini memiliki kelebihan dalam mencapai empat indikator kunci prestasi (KPI) yang ditetapkan, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Menurutnya, kejayaan mencapai empat indikator yang ditetapkan turut menjadikan Jabatan Penjara Sarawak diangkat sebagai penerima Anugerah Penjara Negeri Cemerlang Tahun 2023.
“Sarawak ada kelebihan yang sangat ketara iaitu Jabatan Penjara Sarawak mencapai empat KPI yang ditetapkan iaitu peratusan kesesakan dimana Sarawak mempunyai -13.2 peratus kadar kesesakan.
“Manakala kayu ukur kedua iaitu jumlah reman iaitu 13.5 peratus. Ketiga ialah kita mengukur residivis iaitu apabila seorang penghuni atau prospek dibebaskan, peratusan kembali ke penjara kerana mengulangi kesilapan adalah rendah di Sarawak iaitu 12.7 peratus. Ketiga-tiga ini diukur adalah berdasarkan tahap standard antarabangsa yang ditetapkan iaitu pada tahap 20 peratus,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Penjara Ke-234 di Penjara Puncak Borneo, di sini, hari ini.
Tambahnya, kayu ukur keempat yang berjaya dicapai Sarawak ialah kadar pemenjaraan pada kadar 119 untuk setiap 100,000 penduduk berbanding standard antarabangsa iaitu 145 untuk setiap 100,000.
“Kita tidak boleh rasa puas hati walaupun Sarawak mempunyai tahap kesesakan negatif, kerana kita perlu pertahankan pencapaian ini. Tidak boleh buruk dari ini. Secara keseluruhan 82,005 penghuni penjara di kesemua 43 buah penjara,,” ujarnya.
Sementara itu, Komisioner Jeneral Penjara Malaysia Datuk Nordin Muhamad dalam ucapannya memaklumkan keempat-empat indikator ini menunjukkan komitmen dan kecekapan Institusi Penjara Sarawak dalam menjaga keselamatan masyarakat dan memulikan prospek adalah puncak kejayaan dan contoh terbaik bagi seluruh Institusi-Insitusi Penjara di Malaysia.
Majlis tersebut turut menyaksikan penyampaian anugerah bagi beberapa kategori iaitu Pemakaian Pangkat Kehormat, Pingat Johan Bakti Setia (JBS), Anugerah Penjara Negeri Cemerlang 2023, Anugerah Ikon Integriti Jabatan dan Anugerah Kecermelangan Sukan (Tinju). -TVS