KUALA LUMPUR, 14 Feb: Petinju sensasi Sarawak, Daeloniel Mcdelon Bong tiba di Dhaka, Bangladesh untuk memburu gelaran profesional pertamanya tahun ini.
Atlet yang dikenali sebagai ‘kilat boy’ itu akan menyertai pertandingan Path To Glory menentang wakil tuan rumah, Resatu Mahmud Sajin dalam enam pusingan kategori 57.2 kilogram (kg).
Petinju Sarawak juara kejohanan tinju profesional di Pakistan
Daelonial berkata, dia telah membuat persiapan rapi sejak Disember lepas untuk menghadapi pertandingan ini serta seterusnya mencari tiket ke Kejohanan Tinju Dunia Asia pada April.
“Saya sudah sampai ke sini (Dhaka) pagi tadi dari Kuala Lumpur.
“Setakat ini semuanya baik, saya juga tidak berasa gementar menjelang pertandingan,” katanya ketika dihubungi TVS hari ini.
Sebelum ini, Daelonial pernah mencipta kejayaan pada penampilan antarabangsa dengan menjuarai Kejohanan Tinju Profesional Pakistan pada 2022.
Sementara itu, pemenang pingat emas Sukan Malaysia (SUKMA) 2022 itu berkata, dia akan menampilkan aksi terbaik pada pertandingan berkenaan.
“Tidak banyak yang saya tahu mengenai lawan kerana kami tidak pernah bertarung sebelum ini,” katanya.
Kejohanan di Kemal Ataturk Park akan berlangsung pada 17 Februari ini bermula pukul 4 petang. -TVS