DHAKA, 14 Feb: Petinju Sensasi Sarawak, Daeloniel Mcdelon atau dikenali Kilat Boy optimis akan memberikan tentangan yang sengit bagi mencabar petinju dari Bangladesh, Resatul Mahmud Sajin.
Mereka akan membuat perhitungan dalam pertarungan (Path To Glory) Feather Weight (57.2 KG) yang akan berlangsung di Kemal Ataturk Park, Banani, Dhaka, Bangladesh, Sabtu ini.
“Saya telah memulakan persiapan sejak hujung tahun lepas lagi dengan mengadakan sparing dengan beberapa atlet. Untuk berdepan dengan atlet tuan rumah (Resatul Mahmud) saya tidak gentar tetapi saya perlu berhati-hati,” katanya.
Daeloniel berkata demikian ketika dihubungi TVS turut memaklumkan, sekiranya beliau berjaya menumpaskan pencabar dari Bangladesh berkenaan, ia akan membolehkan dirinya menempah slot untuk beraksi di Kejuaraan Tinju Dunia WBC Asia.
“Dan sekiranya say memenangi pertarungan ini saya juga boleh menaikan ranking saya di persada asia”. katanya lagi.
Pada 26 Oktober 2023, Kilat Boy berjaya melakar sejarah tersendiri apabila memenangi tali Pinggang Utama Kejohanan Tinju Persekutuan Asia (ABF) yang berlangsung di Thailand. – TVS