SIBU, 13 Feb: Kerajaan Sarawak akan terus meneroka khazanah serta keindahan lain di Taman Negara Bako bagi mengekalkan kawasan itu sebagai lokasi pelancongan, kata Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Beliau yang juga Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak berkata, beliau percaya masih terdapat bentuk batuan unik yang belum diteroka di kawasan berkenaan.
Batu tunggul ikonik di Taman Negara Bako runtuh – Abdul Karim
Abdul Karim berkata, kejadian runtuhan batu ikonik di taman negara berkenaan hari ini sesuatu yang amat menyedihkan terutamanya dari perspektif pelancongan.
“Kita tidak dapat melawan kehendak Tuhan kerana sebelum ini pun di Tudan batu seakan-akan kepala kuda juga telah runtuh sama seperti yang berlaku di Bako,” katanya.
Beliu berkata demikian kepada pemberita selepas hadir Perhimpunan Tahunanan Tahun Baru Cina Persatuan Cina Bersatu Sibu (UCA) di Sibu.
Majlis berkenaan turut dihadiri Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Hari ini, Sarawak Forestry Corporation (SFC) mengesahkan kepada Abdul Karim kejadian runtuhan batu tunggul itu yang menjadi tarikan pelancong sejak sekian lama.
Sementara itu Abdul Karim memaklumkan, pihaknya akan menelitu kaedah untuk menjaga batu-batu yang lain seperti ini.
“Kita akan berusaha melihat sekiranya ada batu lain hasil dari hakisan air laut dan cara untuk melambatkan proses ini (runtuhan). Ini adalah satu fenomena alam yang tidak dapat kita lawan,” ujarnya.
Tambah beliau batu ini telah menjadi sebab Bako diiktiraf sebagai Taman Negara pertama di Sarawak pada 1957.
Batu tunggul Taman Negara Bako adalah timbunan batu laut yang unik dan merupakan salah satu khazanah geologi negara.
Merujuk laman web SFC, pembentukan batu tunggul tersebut adalah kesan daripada pergerakan gelombang ombak laut selama beratus tahun-TVS