KUCHING, 8 Feb: Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam (KPTDGA) kini dikenali sebagai Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) selepas cadangan penukaran nama diluluskan oleh Mesyuarat Kabinet semalam.
PETRA memaklumkan, cadangan itu dibawa oleh menterinya, Datuk Seri Fadillah Yusof yang juga Timbalan Perdana Menteri.
TPM Fadillah terajui kementerian baharu dan urusan hal-ehwal Sabah, Sarawak
“Perubahan ini bagi menggambarkan peranan sebenar dan tanggungjawab kementerian berkaitan dengan usaha transformasi bidang tenaga dan air negara.
“Tujuannya adalah untuk memastikan bahawa aspirasi kerajaan melalui fungsi dan tugas kementerian ini dapat difahami dengan lebih jelas oleh masyarakat umum melalui nama baharu tersebut,” jelas PETRA menerusi kenyataan media hari ini.
Kenyataan itu juga memaklumkan pemilihan akronim telah ditentukan melalui pertandingan secara terbuka kepada warga kementerian, jabatan serta agensi di bawahnya.
“Sejumlah 105 cadangan akronim telah diterima dan PETRA telah terpilih sebagai akronim kementerian baharu ini.
“Akronim bagi PETRA adalah PET melalui peralihan tenaga manakala TRA diambil dari transformasi air,” jelas PETRA.
Nama baharu bagi PETRA dalam bahasa Inggeris ialah Ministry of Energy Transition and Water Transformation dan akan digunakan secara rasmi bagi segala urusan berkaitan kementerian. – TVS