FILEM berbahasa Kantonis, Rain Town yang bakal menemui penonton pada 8 Februari ini akan memaparkan konflik kekeluargaan yang pernah berlaku dalam sesebuah keluarga.
Diarahkan oleh seorang pengarah Melayu, Tunku Mona Riza Tunku Khalid bagaimanapun menjelaskan jalan cerita filem tersebut juga sekadar rekaan dan tidak berkaitan dengan mana-mana individu.
Menerusi satu kenyataan Current Pictures hari ini, Tunku Mona berkata, idea untuk menghasilkan Rain Town bermula setelah dia dimaklumkan oleh seorang jurugambar pada tahun 2016 mengenai ‘Rain Betting’ atau bertaruh dengan meneka waktu hujan yang pernah berlaku suatu masa dahulu di Taiping, Perak.
“Ketika itu saya sangat tertarik dengan kisah ‘Rain Betting’ kerana ia satu cerita yang unik, namun tidak bermaksud saya mahu hasilkan sebuah cerita tentang pertaruhan.
“Sebaliknya, saya wujudkan satu karakter bernama Choo yang suka bertaruh serta seorang bapa yang suka mengaturkan kehidupan anak-anak yang sudah meningkat dewasa sehingga menimbulkan konflik dalam keluarga mereka,” ujarnya.
Menurutnya, tajuk Rain Town dipilih berikutan lokasi penggambaran diadakan di Taiping yang terkenal sebagai kawasan menerima taburan hujan paling banyak di Malaysia.
Dengan penghasilan filem tersebut, ia secara tidak langsung menobatkan Tunku Mona sebagai Pengarah Wanita Melayu Pertama mengarahkan filem Kantonis dan pastinya memberikan keunikan dan tarikan yang tersendiri.
Filem Rain Town dilakonkan oleh dua pelakon hebat tanah air iaitu Chew Kin Wah dan Susan Lankester serta barisan pelakon-pelakon lain seperti Fabian Loo, Wilson Lee dan Pauline Tan.
Filem Rain Town akan ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 8 Februari 2024 sempena sambutan Tahun Baharu Cina. -TVS