GURUN, 2 Feb: Tiga anggota tentera yang merupakan pemandu tiga trak tentera dilaporkan terkorban selepas terlibat nahas jalan raya membabitkan empat kenderaan di Kilometer 77.5, Lebuhraya Utara Selatan arah utara dekat sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.20 pagi itu, mangsa berusia antara 30-an hingga 40-an maut di tempat kejadian dipercayai akibat kecederaan parah.
Difahamkan, kejadian berlaku apabila salah sebuah trak askar yang sedang berkonvoi mengalami kerosakan sebelum ketiga-tiga pemandunya turun.
Sebuah lori awam yang datang dari arah belakang dikatakan terbabas sebelum melanggar ketiga-tiga trak tentera tersebut bersama mangsa.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Guar Chempedak, Mohd Fauzi Razali berkata, pihaknya yang menerima panggilan kecemasan pada pukul 10.22 pagi mendapati kejadian itu melibatkan tiga trak tentera lima tan dan sebuah lori dipandu lelaki 31 tahun.
“Tiga pemandu trak tentera telah disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan di lokasi.
“Pemandu lori yang cedera pada kepala dan mengalami kepatahan berjaya dikeluarkan sebelum dikejarkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Difahamkan mayat mangsa yang terlibat dihantar ke HSB untuk urusan bedah siasat. – TVS



