DEBAK, 2 Feb: Mantan Ketua Kaum dan Ketua Masyarakat (KMKK) yang tidak dilantik semula diingatkan agar tidak menjadi penentang kerajaan.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Datuk Mohd Razi Sitam yang berkata demikian menambah, sebaliknya KMKK wajar meneruskan khidmat kepada masyarakat dalam apa jua cara.
“Kita sentiasa terbuka dalam apa jua situasi. Kita tidak mahu apabila ada ketua masyarakat yang tidak dilantik semula berpaling tadah dan menjadi penentang kita (kerajaan).
“Kita tidak mahu perkara ini berlaku sama sekali terutamanya di DUN Saribas,” kata Razi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Saribas pada Majlis Jasamu Dikenang di sini, semalam.
Razi berkata, beliau mahu mantan ketua masyarakat sentiasa bersama kerajaan dalam membangunkan kawasan masing-masing.
Setiap pengetahuan dan pengalaman yang dimiliki oleh mereka amat berharga dalam membangunkan kawasan dan komuniti setempat.
“Anda semua masih lagi boleh memberi kerjasama daripada segi menyumbangkan pendapat dan pandangan mahu pun memberi nasihat kepada ketua kampung,” katanya.