KUCHING, 26 Jan: Bekas Yang di-Pertua Dewan Negara Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar hari ini menerima surat cara pelantikan sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak daripada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, Kuala Lumpur.
Istiadat pengurniaan surat cara pelantikan kepada Yang di-Pertua Negeri Sarawak itu turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Wan Junaidi, 78, merupakan Yang di-Pertua Negeri Sarawak kelapan selepas Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud. Beliau dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak mengikut Perkara 1 Perlembagaan Negeri Sarawak bagi tempoh empat tahun bermula 26 Jan 2024 hingga 26 Jan 2028.
Al-Sultan Abdullah turut berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran Seri Maharaja Mangku Negara yang membawa gelaran Tun kepada Wan Junaidi pada majlis yang sama.
Beliau dijangka mengangkat sumpah jawatan menerusi satu majlis di Dewan Undangan Negeri Sarawak di sini pada 29 Januari.
Bekas ahli politik berpengalaman luas itu dilahirkan di Sadong Jaya pada 1 Februari 1946.
Jawatan terakhir Wan Junaidi sebelum dilantik menjadi Yang di-Pertua Negeri Sarawak ialah Yang di-Pertua Dewan Negara.
Menyingkap karier politiknya, Wan Junaidi merupakan Ahli Parlimen Batang Lupar mulai 1990 hingga 2004 sebelum bertukar ke kawasan Parlimen Santubong sehingga bersara tahun 2022.
Beliau merupakan Ahli Parlimen di dua kawasan ini selama 32 tahun susulan kemenangannya selama tujuh kali Pilihan Raya Umum.
Beliau merupakan Timbalan Speaker Dewan Rakyat mulai 28 April 2008 hingga 3 April 2013.
Dalam Kabinet Persekutuan, beliau pernah memegang beberapa jawatan penting bermula sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri pada 16 Mei 2013 hingga 29 Julai 2015.
Beliau kemudian diberi kepercayaan mengemudi salah satu portfolio dalam Kabinet Persekutuan sebagai Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar pada 29 Julai 2015 hingga 10 Mei 2018.
Pada 10 Mac 2020 hingga 16 Ogos 2021, beliau dilantik sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi.
Beliau diberi kepercayaan menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) mulai 30 Ogos 2021 hingga 24 November 2022.