KUANTAN, 26 Jan: Seorang lelaki maut manakala empat lagi dikhuatiri masih tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Batu 54, Blue Valley, Cameron Highlands awal pagi ini.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Ismail Abdul Ghani berkata pihaknya menerima laporan pada 2.51 pagi, dan setakat ini, operasi mencari dan menyelamat (SAR) masih berjalan.
“Berdasarkan maklumat awal, terdapat tiga lelaki dewasa dan seorang wanita dewasa masih berada dalam kawasan runtuhan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Menurut Ismail, sembilan anggota bomba yang digerakkan ke lokasi kejadian perlu berjalan kaki kira-kira tiga kilometer untuk sampai ke tempat berkenaan.
Identiti mangsa yang terlibat bagaimanapun masih belum diperoleh setakat ini. – TVS