BUTTERWORTH, 24 Jan: Seorang pekerja kilang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menggunakan wang palsu berjumlah RM960,000, dua minggu lalu.
Tertuduh, S. Karunagaran, 37, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Noor Aini Yusof.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa menggunakan mata wang palsu sebagai tulen iaitu 1,600 keping nota RM100 dengan memakai nombor siri sama dan 8,000 keping nota RM100 dengan cetakan sebelah sahaja.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah premis di Lengkok Kikik 4, Taman Inderawasih, Perai pada 14 Januari lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 489C Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 10 tahun.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Syafiq Nasrullah Saleem Ali, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 beserta seorang penjamin.
Kes akan disebut semula 23 Februari depan bagi serahan dokumen dan melantik peguam. – TVS