KUALA LUMPUR, 17 Jan: Sebanyak 220 kawasan di seluruh negara dikesan dijadikan penempatan pendatang tanpa izin, kata Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Ruslin Jusoh.
Beliau berkata 220 kawasan itu, antaranya terdiri daripada penempatan yang dibina mereka sama ada secara haram atau sah, serta unit rumah atau bangunan yang disewa mereka.
“Imigresen akan membuat operasi besar-besaran di seluruh negara secara berterusan, berhubung kawasan yang dikesan ini dan kami tidak akan berkompromi.
“Sebagai rekod, seramai 3,262 pendatang ditahan bagi tempoh 1 sehingga 16 Jan (semalam) atas pelbagai kesalahan imigresen, antaranya tiada pasport, tinggal lebih had masa dan bina penempatan haram,” katanya dalam sidang media khas di Kompleks Kementerian Dalam Negeri, di sini, hari ini.
Ruslin berkata dalam tempoh sama, imigresen telah menahan seramai 35 majikan yang menggaji pendatang tanpa izin secara haram di premis mereka -TVS