SEPANG, 8 Jan: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini enggan melayan dakwaan cubaan menumbangkan Kerajaan Perpaduan kerana beliau mahu menumpukan soal bekerja memimpin negara.
“Tak perlu komen. Saya kerja, kalau ada kes isu besar saya jawab,” katanya ketika diminta mengulas dakwaan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor semalam kononnya Perikatan Nasional (PN) sudah mempunyai jumlah akuan bersumpah (SD) yang cukup untuk menumbangkan Kerajaan Perpaduan.
Anwar ditemui pemberita selepas merasmikan Simposium Tata Kelola Baik Nasional 2024 di sini hari ini.
Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa akuan bersumpah tidak lagi sah atau relevan untuk melakukan gerakan ‘tebuk atap’ kerana adanya Akta Anti Lompat Parti atau Akta Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 (Akta A1663).
Akta Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022, yang mempunyai peruntukan melarang Ahli Dewan Rakyat bertukar parti, berkuat kuasa pada 5 Okt 2022 selepas diluluskan Dewan Rakyat pada 28 Julai tahun sama. – TVS