Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Dato Sri Fatimah Abdullah. Foto fail, Faitullah Morni (TVS).

Bantuan RM5,000 untuk mangsa kebakaran beli bahan binaan bina semula rumah – Fatimah

ByMuqri Aziz

KUCHING, 6 Jan: Mangsa kebakaran di Kampung Bintawa Hilir di sini menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak berjumlah RM5,000 bagi setiap rumah yang hangus sepenuhnya, kata Dato Sri Fatimah Abdullah.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak itu berkata bantuan segera juga akan disalurkan bagi membantu mangsa-mangsa kebakaran terbabit menjalani kehidupan selepas tragedi berkenaan.

“Bantuan sehingga RM5,000 akan disalurkan untuk membeli bahan binaan bagi membina semula rumah mereka yang hangus sepenuhnya akibat kebakaran serta bantuan peralatan dapur berjumlah RM700.

“Bukan itu sahaja, mangsa-mangsa kebakaran juga akan menerima bantuan segera berupa wang tunai untuk membeli pakaian harian, makanan dan minuman, kelengkapan tidur, pakaian dan peralatan sekolah serta wang saku,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui TVS pada Majlis Makan Malam KPPRS ‘Malam Menyantuni P. Ramlee & Saloma’ di sini pada Jumaat.

Turut hadir Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Noriah Ahmad dan Pengerusi Kelab Peminat P. Ramlee Sarawak (KPPRS) Datu Dr Adi Badiozaman Tuah.

Pada masa sama, Fatimah berterima kasih kepada badan-badan bukan kerajaan (NGO) serta pelbagai pihak yang sudi membantu mangsa-mangsa kebakaran dengan menyampaikan sumbangan berupa makanan dan pakaian.

“Sarawak beruntung kerana mempunyai masyarakat yang prihatin dan ada belas kasihan kepada rakyat yang ditimpa musibah.

“Bukan sahaja agensi kerajaan seperti JKM, Tabung Baitulmal Sarawak, Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri, Yayasan Kebajikan Negara menyalurkan bantuan tetapi NGO-NGO seperti Kuching Love Book Association dan Persatuan Bulan Sabit Merah turut tampil memberi bantuan kepada mereka, tidak kira bangsa, agama dan kaum,” ujarnya lagi.

Fatimah turut berkongsi, sejak jam 8 malam pada Jumaat, sebanyak 12 keluarga mangsa melibatkan 38 orang mangsa dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Rekreasi Bimajaya Kampung Bintawa Hilir manakala sebuah lagi keluarga mangsa melibatkan lima orang mangsa tidak berpindah ke PPS berkenaan.

Kesemua 43 orang penghuni dilaporkan selamat daripada sebarang kecederaan. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment


Berita Berkaitan