KOTA TINGGI, 5 Jan: Segelintir penduduk di daerah ini yang terjejas banjir telah bersedia lebih awal dengan mengalihkan barangan dan harta benda ke tempat tinggi bagi mengelak daripada menanggung kerugian.
Tinjauan Bernama di Taman Aman dan Tamai Mawai yang mempunyai jumlah penduduk paling ramai terkesan iaitu 687 orang daripada 172 keluarga, mendapati rata-rata penduduk telah menjangkakan kawasan perumahan mereka yang berdekatan sungai akan dilanda banjir.
Seorang penduduk Taman Aman, Aziliah Muhamed, 38, berkata hujan berterusan sekitar 12.30 tengah malam Rabu hingga 7 pagi semalam, telah menyebabkan air naik ke kawasan perumahan hingga paras lutut pada 10 pagi, sekali gus memaksa mereka berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS).
“Saya sekeluarga tidak sampai setahun duduk di sini, tetapi sudah tahu kawasan ini memang sering dilanda banjir.
“Macam tahun lepas, saya sekeluarga rugi hampir RM20,000 sebab perkakas elektrik dan barangan lain musnah. Oleh sebab itu, kali ini kami lebih berwaspada… semua barang telah siap-siap diletakkan di tingkat atas,” kata suri rumah itu kepada Bernama di sini hari ini.
Sen Mong Cheong, 62, yang tinggal di Taman Mawai sejak tujuh tahun lepas berkata banjir surut sepenuhnya di kawasan perumahan berkenaan sekitar 4 petang semalam, namun penduduk sentiasa berwaspada dan hanya pulang sebentar untuk membersihkan rumah masing-masing sejak pagi tadi.
“Sejak tahun lepas saya duduk di sini, banjir semalam boleh dikatakan biasa sahaja berbanding tahun sebelum ini, sebab kali ini air naik paras lutut dan tahun lepas pada Mac pula, kira-kira dua meter.
“… kita sentiasa hati-hati, sebab kalau hujan lebat berterusan pada hari ini, ada kemungkinan air akan naik semula dengan paras lebih tinggi,” katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Tinggi Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Shawaluddin Ami Nordin berkata air telah surut di kebanyakan kawasan terjejas semalam dan pemantauan dilakukan berterusan melibatkan 33 anggota serta lima aset.
“Pihak bomba masih melakukan pemantauan banjir dan aras sungai di sekitar bandar Kota Tinggi serta beberapa kawasan ‘hotspot’ yang mudah dinaiki air.
“Setakat ini, kita lihat trend air sungai berada dalam keadaan paras normal, namun sekiranya hujan berterusan hari ini, kita akan memastikan penduduk lain bersedia untuk dipindahkan ke PPS,” katanya.
Setakat 12.30 tengah hari keadaan cuaca di Kota Tinggi adalah gerimis dengan keseluruhan mangsa yang terjejas sebanyak 724 orang daripada 181 keluarga di enam PPS.
Kesemua mangsa dari Taman Aman dan Taman Mawai ditempatkan di empat PPS, manakala dua PPS lagi menempatkan sembilan keluarga dari Kampung Sungai Berangan dan Kampung Baru Sungai Mas.- TVS