KUCHING, 4 Jan: Kerajaan Sarawak optimis kepada Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak untuk menyalurkan tenaga kerja dalam projek penyelidikan alga di negeri ini.
Pengerusi Lembaga Pengarah UiTM Cawangan Sarawak, Prof. Emeritus Datuk Dr Raduan Che Rose berkata pihaknya komited mendukung perancangan kerajaan negeri itu.
“Penyelidikan alga antara bidang yang telah diberi kepercayaan kepada UiTM sebagai sumber tenaga boleh diperbaharui, serta pihak UiTM yang dilihat sebagai pihak yang boleh mengeluarkan tenaga kerja dalam mendukung perancangan tersebut.
“Daripada apa yang dikongsikan oleh Premier Sarawak, kami jangka ia satu potensi yang amat besar dalam melonjakkan pembangunan dan pencapaian Sarawak secara keseluruhannya,” katanya.
Dr Raduan berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Wisma Bapa Malaysia di sini, hari ini.
Menurutnya, kunjungan berkenaan juga merangkumi perkongsian berkaitan perancangan jangka pendek dan panjang kerajaan negeri untuk pembangunan ekonomi dan sosial dalam penyelidikan alga.
Dalam pada itu, ditanya berhubung status perkembangan penyelidikan alga, Prof. Madya Dr Juferi Idris yang menjalankan tugas-tugas sebagai Timbalan Rektor UiTM Cawangan Sarawak berkata, kerja-kerja penyelidikan telah dijalankan seperti membuat saringan jenis alga yang sesuai digunakan.
“Kami telah menggerakkan penyelidik untuk membuat saringan alga yang ada di Sarawak yang sesuai untuk menghasilkan hidrogen.
“Kedua, pihak saintis akan menghasilkan kit untuk masyarakat luar bandar dapat menghasilkan alga dengan mudah,” katanya.
Pada masa sama, Dr Raduan berkata, UiTM turut memberi jaminan bahawa pihak universiti akan melaksanakan program pemindahan ilmu untuk memberi faedah kepada kedudukan sosioekonomi masyarakat setempat.
Terdahulu, UiTM menerima saranan Premier Sarawak untuk mengkaji berkaitan alga yang melibatkan bahan api penerbangan mampan (SAF).
Rektornya, Profesor Datuk Dr Jamil Hamali berkata, saranan tersebut adalah bagi membuka peluang kepada masyarakat di luar bandar dan di persisiran pantai untuk berkecimpung dalam industri berkenaan. – TVS