Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Kementerian Pendidikan disaran mewujudkan satu mekanisme bagi mengukur tahap pencapaian tujuh teras utama yang ditumpukan oleh kementerian itu dalam usaha memperkasakan sektor pendidikan negara. Foto hiasan

Kementerian Pendidikan dicadang wujudkan kayu ukur pencapaian tujuh teras pendidikan negara

ByBernama

KUALA LUMPUR, 3 Jan: Kementerian Pendidikan (KPM) disaran mewujudkan satu mekanisme bagi mengukur tahap pencapaian tujuh teras utama yang ditumpukan oleh kementerian itu dalam usaha memperkasakan sektor pendidikan negara.

Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Anuar Ahmad berkata dengan adanya mekanisme itu, rakyat dapat membuat satu penilaian yang objektif terhadap pencapaian dilakukan KPM berdasarkan tujuh teras utama yang digariskan pada Disember 2022.

“Tujuh teras itu perkara pokok yang selalu menjadi cabaran, halangan dan isu dalam sistem pendidikan negara kita. Hingga hari ini, Menteri Pendidikan (Fadhlina Sidek) masih kekal di atas tujuh landasan ini.

“Namun begitu, pada pandangan saya oleh kerana tujuh teras ini tidak dinyatakan pencapaiannya, rakyat tidak tahu bagaimana untuk mengukur (prestasi). Adakah teras itu telah dicapai atau di mana letak duduknya pencapaian tersebut,” katanya dalam program Ruang Bicara Mendepani 2024 terbitan Bernama TV dengan tajuk ‘Cabaran Pendidikan 2024’ malam tadi.

Tujuh teras utama yang menjadi tumpuan KPM ialah isu keciciran pembelajaran, kebajikan guru, komunikasi antara kementerian dan sekolah, menaik taraf sekolah daif, penekanan aspek karamah insaniah, isu kemiskinan multidimensi dan meningkatkan pendidikan digital.

Pada masa sama, Anuar berkata rakyat juga bertanggungjawab untuk sentiasa bersuara secara positif dan konstruktif jika mereka merasakan terdapat perkara yang tidak dipersetujui atau diingini dalam sistem pendidikan negara.

Beliau berkata semak dan imbang dalam kalangan masyarakat terhadap apa yang dilakukan oleh kerajaan terutama kepimpinan KPM serta dasar pelajaran itu, perlu berlaku secara berterusan agar dapat memperbaiki sistem sedia ada.

“Sebab itu, kalau kita lihat menteri (Fadhlina) selalu melakukan libat urus bersama ibu bapa, guru dan badan bukan kerajaan (NGO). Ini satu mekanisme dan platform yang baik untuk beliau mengetahui dan memahami apakah suara hati dalam kalangan masyarakat.

“Libat urus adalah satu mekanisme yang terbaik untuk kita mencari titik persamaan antara apa yang difikirkan peringkat kepimpinan dan apa yang difikirkan oleh masyarakat, khususnya ibu bapa,” katanya.

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan