Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Foto: UNIMAS

Ahmad Hata dilantik Naib Canselor UNIMAS yang baharu

KUALA LUMPUR, 3 Jan: Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Profesor Dr Ahmad Hata Rasit dilantik sebagai Naib Canselor UNIMAS yang baharu berkuat kuasa 8 Jan ini.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam kenyataan hari ini memaklumkan pelantikan bagi tempoh tiga tahun hingga 7 Jan 2027 itu adalah bagi menggantikan Naib Canselor UNIMAS keenam iaitu Datuk Profesor Dr Mohamad Kadim Suaidi.

Watikah pelantikan diserah oleh Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir kepada Ahmad Hata hari ini.

Menurut KPT, pelantikan Ahmad Hata yang berpengalaman luas dalam pentadbiran organisasi di peringkat universiti dilihat mampu meneruskan agenda merakyatkan institusi itu serta menyumbang kepada pembangunan anak negeri Sarawak melalui kerjasama strategik dengan kerajaan negeri dan Persekutuan.

“Kementerian juga yakin pelantikan Ahmad Hata mampu memacu kecemerlangan UNIMAS sebagai sebuah universiti komprehensif berteraskan kepada tiga bidang tujahan iaitu pemuliharaan biodiversiti dan alam sekitar, teknologi maklumat, komunikasi dan kreatif serta kelestarian transformasi komuniti,” menurut kenyataan itu.

Ahmad Hata, 54, adalah lulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Perubatan dan Ijazah Doktor Perubatan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebelum melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Surgeri (Ortopedik) di universiti sama.

Selain berpengalaman selaku Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UNIMAS, beliau pernah menyandang jawatan sebagai Dekan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan di universiti itu selama tujuh tahun dari 2012.

Dalam pada itu, KPT turut merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan kepada Mohamad Kadim atas jasa bakti beliau sepanjang menerajui UNIMAS.

Mohamad Kadim menjadi Naib Canselor UNIMAS pada April 2013 sebelum dilantik semula ke jawatan itu bagi tempoh setahun berkuat kuasa 15 Dis tahun lepas. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan