Search
Close this search box.
Beregu lelaki utama negara Aaron Chia menjawab soalan media selepas sesi latihan bagi persediaan perlawanan pertama tahun ini pada Kejohanan Super 1000, PETRONAS Malaysia Open 2024 di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara hari ini. Foto Bernama

Badminton: Aaron sasar permulaan positif di Terbuka Malaysia 2024

KUALA LUMPUR, 2 Jan: Pemain beregu lelaki negara Aaron Chia berharap agar dapat mengharungi kempen musim ini dengan sempurna, bermula dengan prestasi positif di kejohanan Terbuka Malaysia 2024 pada 9 hingga 14 Januari ini.

Tanpa mendedahkan sasaran spesifik di kejohanan yang akan berlangsung di Axiata Arena itu, Aaron berkata, beliau dan gandingannya Soh Wooi Yik tekad mempamerkan prestasi terbaik mereka di hadapan peminat tempatan pada kejohanan berstatus Super 1000 berkenaan.

“Persiapan (Terbuka Malaysia 2024) berjalan dengan baik. Sangat penting untuk kita beraksi dengan baik terutama di laman sendiri,” katanya kepada pemberita selepas sesi latihan di sini hari ini.

Pencapaian beregu utama negara di Terbuka Malaysia adalah pada edisi 2022 dengan layak ke separuh akhir sebelum tumpuan kepada pasangan Jepun Takuro Hoki-Yugo Kobayashi 21-23, 9-21.

Sementara itu, Aaron berkata, setelah sering kali gagal menepati sasaran dalam kejohanan disertai, beliau menyerahkan kepada peminat untuk menetapkan sasaran kepada gandingan negara itu termasuk tempoh masa bagi mereka mencapai status nombor satu dunia.

“Saya rasa itu (nombor satu dunia) sentiasa sasaran kita tapi masanya akan tiba juga. Saya mahu cakap banyak tak boleh nanti orang komen sentiasa mahu nombor satu dunia tapi hanya sekadar cakap saja.

“Sebab bila cakap mahu capai sasaran tapi akhirnya tak dapat, nak cakap juara tak dapat…jadi memang saya tak suka cakap perkara ini dan main sahaja,  untuk diri sendiri,” katanya.

Untuk rekod, beregu keempat dunia itu pernah menduduki ranking kedua dunia awal tahun lepas, yang merupakan kedudukan terbaik mereka dalam ranking Persekutuan Badminton Dunia (BWF) setakat ini.

Dalam pada itu, Aaron berharap percutian bersama keluarga di Hong Kong sebelum perayaan Krismas lepas mampu membuatkan dirinya lebih segar bagi menghadapi musim baharu selepas menempuh jadual padat tahun lepas.

Aaron-Wooi Yik yang turun selaku pilihan ketiga akan berdepan pasangan bukan pilihan dari Denmark, Rasmus Kjaer-Frederik Sogaard pada pusingan pertama Terbuka Malaysia 2024.-TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment


Berita Berkaitan