BINTULU, 1 Jan: Ribuan pengunjung membanjiri Lapang Lasar Kenyalang Bintulu malam tadi bagi menyambut Tahun Baru 2024.
Tinjauan TVS mendapati rata-rata pengunjung teruja untuk menyaksikan kugiran Bunkface beraksi di atas pentas.
Kumpulan tersebut mendendangkan beberapa buah lagu termasuk hits mereka seperti Malam Ini Kita Punya dan Darah Muda dalam satu persembahan bertenaga yang menggamit pengunjung.
Selain persembahan kumpulan punk rock itu, sambutan ambang Tahun Baru 2024 turut diserikan dengan persembahan artis tempatan seperti Melissa Francis dan Rosario Bianis.
Acara tersebut disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pelancongan Malaysia, Khairul Firdaus mewakili Menteri Pelancongan, Dato Sri Tiong King Sing dan Ahli Dewan Undangan (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee yang turut serta dalam acara kira detik tahun baharu tersebut.
Tepat detik 12 tengah malam, bandar Bintulu diwarnai dengan pertunjukan meriah bunga api.
Sambutan ambang tahun baharu 2024 dianjurkan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Sarawak dan Pejabat Pentadbiran Bahagian Bintulu.
Ia juga merupakan sebahagian daripada acara MOTAC@Bintulu yang bermula sejak 29 Disember. – TVS



