KUCHING, 1 Jan: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengumumkan bahawa bendera Sarawak dinamakan sebagai Ibu Pertiwi mulai hari ini.
Abang Johari turut menamakan dataran berhampiran Fort Magherita yang mana terletaknya tiang bendera Sarawak setinggi 99 meter sebagai Dataran Ibu Pertiwi dan tiang bendera tertinggi Sarawak dinamakan sebagai tiang Ibu Pertiwi.
“Kalau bendera Malaysia dinamakan sebagai Jalur Gemilang, jadi saya nak umumkan nama bendera kita malam ini ialah Ibu Pertiwi. Kompleksnya pula adalah dataran Ibu Pertiwi dan tiangnya ialah tiang Ibu Pertiwi.
“Ini tanah air kita, kita kena lindungi kerana ia melambangkan kedaulatan kepada Sarawak dan juga menggambarkan kehebatan negeri ini,” katanya ketika berucap pada Sambutan Ambang Tahun Baharu 2024 di Tebingan Kuching malam ini.
Sementara itu mengulas mengenai tiang bendera Sarawak yang merupakan tiang bendera tertinggi di Malaysia, Abang Johari mendedahkan ia dibiayai sepenuhnya oleh tiga syarikat dalam sektor minyak dan gas iaitu Petroleum Sarawak Berhad (PETROS), Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) dan Shell Malaysia.
“Tiang bendera ini menjadi ikon kepada Sarawak dengan ia tidak membabitkan wang kerajaan. Saya ucap terima kasih kepada tiga syarikat yang membiayai tiang bendera ini iatu PETROS, PETRONAS dan Shell melalui Program Tanggungjawan Sosial Koprat (CSR)
“Mereka melakukannya kerana mereka tahu bahawa mereka telah beroperasi di Sarawak dan syarikat-syarikat itu turut memberi biasiswa kepada anak Sarawak,” jelasnya.
Tiang bendera berkenaan dengan struktur melebihi 120 tan metrik, dilengkapi bendera Sarawak berukuran 25 meter panjang dan 12.5 meter lebar dan mula berkibar sejak 17 Jun lalu.
Untuk rekod ia merupakan tiang bendera tertinggi di Malaysia mengatasi tiang bendera yang terletak di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.
Ia juga merupakan tiang bendera ke-12 tertinggi di dunia. – TVS



