KOTA KINABALU, 29 Dis: Dua lelaki maut manakala seorang ibu dan bayinya cedera apabila kereta dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori tiga tan di Batu 16, Jalan Kimanis-Keningau dalam kejadian sekitar tengah malam tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah Hamsa Isnurdin berkata dua lelaki yang maut dikenal pasti sebagai Mohd Izuddin Abu Hasan, 32, dan Mohd Kasim Labadillah, 33, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan.
Beliau berkata tiada maklumat diperoleh pihaknya buat masa ini mengenai identiti ibu dan bayi tersebut kerana telah dibawa ke hospital sebelum ketibaan pasukan bomba di lokasi kejadian.
“Ibu dan bayinya telah dikeluarkan orang awam dari dalam kereta dan dihantar ke hospital oleh ambulans Kementerian Kesihatan, pasukan bomba kemudiannya mengeluarkan dua mangsa lain (dalam kereta) menggunakan peralatan khas.
“Pemandu dan seorang penumpang lori tidak mengalami sebarang kecederaan. Operasi ditamatkan pada 3.15 pagi tadi,” katanya dalam kenyataan hari ini. – TVS