KUCHING, 28 Dis: Sarawak Forestry Corporation (SFC) mengaktifkan pasukan ‘Swift Wildlife Action Team’ (SWAT) bagi mengeluarkan mana-mana buaya dianggap sebagai ancaman di kawasan sungai Samariang berhampiran kediaman penduduk.
Pegawai Hidupan Liar, Seksyen Swat dan Penguatkuasaan SFC, Dr Mohd Izwan Zulaini Abdul Ghani berkata operasi dilakukan sehinga 4 Januari dengan misi cari dan bunuh reptilia tersebut.
“Objektif utama pihak pasukan SWAT di bawah SFC adalah untuk mengeluarkan mana-mana buaya yang kita anggap sebagai ancaman kepada penduduk setempat. Ancaman di sini maksudnya ialah buaya yang sering kelihatan berdekatan dengan kawasan rumah penduduk.
“Objektif sampingan ialah untuk kita cari buaya yang terlibat dalam kes serangan remaja baru-baru ini apabila dapat ditangkap kita akan bedah buaya tersebut,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Menurutnya, operasi tersebut melibatkan penggunaan senjata api, justeru penduduk di sekitar dinasihatkan mengurangkan aktiviti-aktiviti di sungai sepanjang 10 hari operasi itu berlangsung.
Setakat ini, pihaknya menumpukan dengan kerja-kerja awal termasuk pemantauan dan kenal pasti lokasi buaya bagi memasang perangkap.
“Untuk tempoh dua hari pertama kami lebih memfokuskan kepada melihat keadaan di lokasi dan dalam dua hari pertama operasi kita nampak kelibat buaya dan kami ada juga membuat pemantauan pada sebelah malam.
“Pemantauan pada waktu malam lebih mudah untuk mengesan buaya apabila kita suluh dengan lampu, dari situ kita dapat mengenal pasti lokasi strategik untuk memasang perangkap termasuk di lokasi kejadian pada 24 Disember lalu,” katanya.
Sabtu lalu, seorang remaja lelaki berusia 15 tahun maut akibat dibaham buaya semasa menjala dan memancing dengan tiga lagi rakannya.
Difahamkan ia merupakan kes pertama dilaporkan melibatkan mangsa serangan buaya di kawasan sungai Samaraiang itu.
Sementara itu Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Datu Khiruddin Drahman mendedahkan sebanyak 50 kes serangan buaya direkodkan di Sarawak sejak 2018.
Malah peralihan Monsun Timur Laut (MTL) katanya turut menyumbang kepada salah satu faktor kehadiran buaya di kawasan kediaman berhampiran sungai.
“Kita lihat dalam fasa MTL ini, akan berlakunya hujan lebat dan banjir dan air naik secara mendadak di kawasan rendah terutama di tepi sungai kawasan perumahan yang berada di kawasan sungai dan kita tidak nafikan bahawa beberapa kes buaya tersesat mereka cukup cemas.
“Perkara ini perlu diberi perhatian sebab ketika waktu banjir ini pastikan keselamatan diri kita terutama punca makanan yang boleh menarik perhatian binatang ini, haiwan peliharaan dan sebagainya,” katanya.