KUCHING, 28 Dis: Sarawak berpotensi menjadi wilayah pilihan warga Singapura sebagai rumah kedua melalui program Sarawak-Malaysia My Second Home (S-MM2H).
Ketua Pegawai Eksekutif Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak Singapura (STATOS), Chew Chang Guan mendedahkan pihaknya menerima maklum balas yang positif daripada warga Singapura yang berminat untuk memohon MM2H di Bumi Kenyalang.
Menurutnya, Sarawak menyediakan pelbagai kemudahan kepada rakyat negara itu yang berminat untuk berhijrah di sini terutama sekali dengan kemudahan penerbangan secara terus ke Kuching, Miri dan Sibu.
“Mereka melawat ke Sarawak untuk melihat potensi memohon MM2H di sini.
“Saya rasa memandangkan jarak Singapura ke Sarawak hanya satu jam dengan penerbangan terus, jadi mudah bagi mereka untuk melawat dan tinggal di sini,” katanya ketika ditemui TVS di Restoran Museum Budaya Borneo.
Dengan itu, Chew optimis STATOS akan terus mempromosikan Sarawak ke Singapura sebagai destinasi ideal untuk pelbagai sektor seperti perdagangan dan pelaburan bagi menarik lebih ramai pemohon program.
“Kita mahu mereka tahu lebih lanjut tentang Sarawak dan tingkatkan kedatangan mereka ke Sarawak.
“Sarawak menawarkan pelbagai peluang pelaburan termasuk dalam bidang pertanian, akuakultur, pusat data termasuk produk makanan dan pembuatan. Itu adalah antara ceruk yang perlu diberikan tumpuan,” katanya.
Bagi sektor pelancongan, pihaknya akan memberi tumpuan kepada pelancongan pendidikan, perniagaan korporat serta acara perniagaan, dan tidak tertumpu kepada pelancongan rekreasi sahaja.
Tambahnya, Sarawak mencatatkan peningkatan kedatangan pelancong dari Singapura sebanyak 27 peratus dalam tempoh Januari hingga Oktober, berbanding tempoh sama sebelum pandemik Covid-19. -TVS