TAMPIN, 28 Dis: Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tampin menerima maklumat daripada orang awam berkenaan penemuan sebutir objek menyerupai bom lama di ladang Jelai, Gemas pada Selasa.
Timbalan Ketua Polis Daerah Tampin DSP Amiruddien Sariman berkata bertindak atas maklumat itu, anggota Balai Polis Gemas bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati objek berkenaan merupakan bom sebesar saiz sebuah tong gas, dipercayai peninggalan Perang Dunia Kedua.
“Anggota bertugas segera memasang tali garisan polis bagi memaklumkan lokasi terbabit sebagai kawasan larangan dan bahaya,” katanya kepada pemberita di sini.
Beliau berkata Unit Pemusnah Bom (UPB) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan dan IPD Tampin melaksanakan proses pemusnahan bom itu semalam.
“Teknik pemusnahan bom secara low order menggunakan vulcan shape charge yang menyebabkan bom akan meletup sehingga menjadi serpihan,” katanya. – TVS