GEORGE TOWN, 28 Dis: Seorang kerani akaun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 133 pertuduhan pecah amanah wang syarikat membabitkan lebih RM445,000.
Tertuduh, Teh Ya Ling, 41, membuat pengakuan itu sejurus semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Sharmila Abdul Samad.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan pecah amanah dengan memindahkan wang milik sebuah syarikat penguji ketulenan emas ke dalam akaun bank atas namanya untuk kegunaan sendiri berjumlah RM445,815.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di syarikat terbabit di Jalan Sungai di sini antara 18 Oktober 2019 hingga 31 Mei 2021.
Ya Ling didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara antara setahun hingga 14 tahun dan denda.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lee Jun Keong, manakala tertuduh diwakili peguam Teoh Kung Yu.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM500 bagi setiap pertuduhan yang menjadikan keseluruhannya RM66,500 beserta seorang penjamin selain perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Kes akan disebut semula 9 Februari depan bagi serahan dokumen. – TVS