Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Sebahagian peserta yang hadir piket “Aksi Bertindak: Kepung Demi Palestin” berhampiran Kedutaan AS di ibu negara malam tadi. Foto Bernama.

Peserta piket solidariti Palestin dinasihat tidak berkhemah berhampiran Kedutaan AS

ByBernama

KUALA LUMPUR, 27 Dis: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menasihati peserta piket solidariti untuk Palestin supaya tidak mendirikan sebarang struktur atau khemah berhampiran Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Jalan Tun Razak di sini, sepanjang himpunan itu berlangsung selama enam hari bermula malam tadi.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata piket “Aksi Bertindak: Kepung Demi Palestin” itu tertakluk kepada Akta Perhimpunan Aman 2012 dan menjadi tanggungjawab polis untuk memastikan keselamatan perhimpunan terbabit.

“Seandainya terdapat peserta yang mendirikan khemah, kita lihat nanti apa tindakan yang bakal diambil,” katanya yang mengesahkan peserta himpunan itu tidak diarah bersurai jika mereka mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

Allaudeen berkata pihak polis bersimpati dan menyokong perjuangan rakyat Palestin, namun mereka bertanggungjawab untuk memastikan ketenteraman awam dan keselamatan perwakilan-perwakilan asing di negara ini.

“Kalau kita lihat ada kedutaan AS, Suruhanjaya Tinggi Singapura, Kedutaan Jepun dan juga beberapa perwakilan asing berhampiran kawasan ini dan ia menjadi tanggungjawab PDRM,” katanya kepada pemberita pada sidang media di lokasi piket diadakan di sini.

Allaudeen berkata pihaknya telah menggerakkan sejumlah anggota dan pegawai bagi mengawal keadaan di lokasi himpunan itu dan setakat ini bilangan itu mencukupi.

Piket itu ialah inisiatif warga Malaysia yang peduli dengan krisis di Gaza yang telah mengorbankan 20,424 rakyat Palestin setakat 24 Dis lepas, selain sebagai tanda kecintaan kepada keamanan.

Solidariti di hadapan kedutaan negara itu adalah sebagai simbolik pengepungan terhadap Gaza dan ia juga bagi menuntut supaya pembunuhan terhadap rakyat Palestin dihentikan, serta mendesak supaya gencatan senjata dilaksanakan segera.

Himpunan itu membabitkan sebanyak 48 badan bukan kerajaan (NGO) yang terdiri daripada organisasi masyarakat, pertubuhan pemuda dan pelajar serta kelompok politik daripada pelbagai spektrum.

Antara NGO yang mengambil bahagian ialah Majlis Perundingan Islam Malaysia, Viva Palestina Malaysia, Yayasan Al Quds Malaysia, Suara Rakyat Malaysia dan Malaysian Women’s Coalition for Al-Quds and Palestine.  -TVS

 

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment


Berita Berkaitan