Sebahagian daripada jalan yang telah dipasang dengan lampu LED di Sibu. Foto: FB Clarence Ting

Kerajaan Persekutuan diminta biayai lebih banyak lampu jalan LED di Sibu

SIBU, 27 Dis: Kerajaan Persekutuan diminta menyediakan peruntukan bagi Majlis Perbandaran Sibu (SMC) memasang kemudahan lampu jalan LED di sini.

Pengerusinya, Clarence Ting mendedahkan peruntukan berjumlah RM1.3 juta daripada kerajaan negeri  sebelum ini tidak mencukupi untuk pemasangan lampu LED di bandar raya berkenaan.

Sehubungan itu pihaknya merancang untuk memasang lebih banyak lampu LED tahun depan sebagai menyokong usaha kerajaan pusat yang mendorong penggunaan tenaga hijau.

“Kami berharap untuk mendapatkan lebih banyak pembiayaan tahun depan daripada kerajaan pusat kerana mereka juga mendorong penggunaan LED yang mampu mengurangkan pelepasan karbon,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam mesyuarat penuh MPS yang diadakan di Wisma Sanyan di sini, pada Rabu.

“MPS perlu memohon dana itu kerana kami mempunyai perjanjian dengan Sarawak Energy Berhad (SEB).

“Kami akan berusaha untuk ‘menerangi’ lebih banyak kawasan di perbandaran ini,” tegasnya.

Mengenai kawasan perumahan, katanya pihak majlis tidak dapat memasang lampu LED disebabkan peruntukan yang sangat terhad.

“Projek kami hanya terhad untuk kawasan komersial dan jalan-jalan utama dalam kawasan MPS.

“Kami tidak boleh melaksanakan pemasangan lampu LED di kawasan perumahan disebabkan peruntukan RM1.3 juta tidak mencukupi,” jelasnya.

Antara kawasan komersial di kawal selia oleh MPS ialah Sungai Merah, Farley, Delta dan Taman Rejang manakala jalan utama ialah Jalan Bandong, Brooke Drive dan Jalan Tun Abang Haji Openg, dan Jalan Merdeka.

Manakala kawasan lain di Jalan Deshon, Jalan Tun Ahmad Zaidi Adduce, Jalan Brother Albinus dan Jalan Oya di bawah bidang kuasa di bawah Jabatan Kerja Raya (JKR).

Dalam perkembangan lain, Ting mendedahkan bahawa MPS akan mempraktikkan penggunaan tanpa kertas dalam minit mesyuaratnya tahun depan.

“Kami tidak lagi mencetak minit mesyuarat dalam bentuk buku untuk mesyuarat penuh lembaga dan semua minit mesyuarat akan disediakan dalam bentuk salinan skrin dalam peranti digital,” jelasnya lanjut. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan