LIMBANG, 26 Dis: Sambutan Krismas merupakan peluang bagi masyarakat di sini melepas kerinduan terhadap ahli keluarga yang jauh.
Ahli Majlis Daerah Limbang (MDL), Kaunselor Daniel Taha berkata, beliau begitu teruja untuk meraikan Krismas tahun ini kerana dapat berhimpun bersama ahli keluarga dari Kuala Lumpur, Sarawak, Sabah dan negara jiran Brunei Darussalam.
Menururtnya kemeriahan sambutan Krismas sudah dirasai lebih awal dengan penganjuran pelbagai aktiviti keagamaan bersama penganut agama Kristian di Limbang.
“Syukur pada tahun ini sangat meriah, sebelum acara hari ini, Natal yang sebenarnya sepanjang bulan kita juga merayakan Krismas bersama-sama keluarga, kawan-kawan dan syukur semuanya berjalan dengan lancar dan kemeriahan dirasakan.
“Banyak aktiviti-aktiviti yang diadakan di Limbang bersama keluarga masing-masing,” katanya pada rumah terbukanya sempena Krismas di Batu Biah, Limbang hari ini.
Daniel menyatakan setiap kali Krismas juga menyaksikan rakan-rakan berlainan agama dan kaum akan mengunjungi kediamannya untuk bersama meraikan perayaan tersebut.
Jelasanya seperti kelaziman dirinya akan menyediakan pelbagai juadah Melayu, Lun Bawang, Bisaya dan makanan tradisional lain untuk disajikan pada rumah terbukanya.
Turut senada, penjawat awam Siti Maryam Fadil turut menzahirkan kesyukuran kerana dapat meraikan Krismas bersama sahabat handai kali imi.
Paling manis katanya, beliau juga dapat menikmati kepelbagai juadah seperti nasi nuba laya iaitu makanan tradisi kaum Lun Bawang, yang turut dihidangkan pada sambutan rumah terbuka Krismas selain kuih-muih dan juadah lain.
“Kalau di Limbang ini biasanya memang meriah walaupun berbilang kaum pelbagai agama tapi kemeriahan memang sentiasa dirasai kerana setiap kali perayaan di Limbang ini kita memang akan saling kunjung mengunjungi di antara rakan-rakan yang berlainan agama dan kita sangat harmoni sepanjang perayaan krismas ini,” katanya. – TVS