Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Keadaan dua kereta remuk akibat kemalangan yang meragut nyawa seorang wanita di Jalan Selitut pada petang Ahad. Foto BBP Tatau

Wanita maut, dua kereta bertembung di Tatau

TATAU, 25 Dis: Seorang wanita maut selepas kereta yang dinaiki empat sekeluarga bertembung dengan kereta lain dari arah bertentangan di Jalan Selitut, Tatau-Bintulu dekat sini petang semalam.

Mangsa dikenali sebagai Teo Pek Chin, 51, meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tatau, Pegawai Bomba Tinggi (PBT II) Jankey Jikat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian pada jam 3.45 petang.

Katanya, kemalangan tersebut membabitkan sebuah kereta jenis Proton Iriz dan Proton Saga.

“Setibanya pihak kami di lokasi kejadian mendapati kesemua mangsa telah dikeluarkan oleh orang awam kecuali seorang wanita yang berada di tempat duduk sebelah pemandu kereta Proton Iriz.

“Mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramediks dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) manakala suaminya berusia 52 tahun yang memandu kereta dan dua orang anak perempuan mereka berusia 12 dan 18 tahun mengalami cedera parah,” katanya menerusi kenyatan hari ini.

Menurutnya, kesemua mangsa cedera termasuk lelaki yang memandu kereta Proton Saga berusia 48 tahun telah dikejarkan ke Klinik Kesihatan Tatau untuk menerima rawatan lanjut.

“Pasukan Keluaran Operasi hanya bertindak mengeluarkan mangsa wanita yang meninggal dunia menggunakan pengusung dan seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” jelasnya.

Difahamkan, Teo yang berasal dari Sibu bersama keluarganya sedang dalam perjalanan pulang ke Sibu selepas bercuti di Bintulu apabila nahas itu berlaku.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tatau, Deputi Superintendan (DSP) Jame Reis ketika dihubungi mengesahkan satu laporan berhubung kejadian telah diterima pihaknya.

Jelasnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment


Berita Berkaitan