SIBU, 25 Dis: Tujuh remaja terpaksa pulang tanpa motosikal selepas kenderaan mereka disita oleh polis dalam Operasi Ambang Krismas di sini, semalam.
Operasi berkenaan dilancarkan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu di pusat bandar Sibu dan Jalan Awang Ramli Amit bermula 8.30 malam.
Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner (ACP) Zulkipli Suhaili berkata, pihaknya juga mengeluarkan sebanyak 51 saman atas pelbagai kesalahan.
“Antara kesalahan yang dikesan termasuklah ubah suai ekzos.
“Kesalahan paling banyak direkodkan ialah tiada lesen memandu selain tiada cermin sisi,” katanya kepada TVS hari ini.
Katanya, kesemua penunggang bersama motosikal dibawa ke Balai Polis Sentral Sibu untuk proses dokumentasi sebelum ke Balai Trafik Sungai Merah bagi tindakan lanjut.
“Kesemua motosikal yang ditahan akan disita mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” jelasnya. -TVS