SARIKEI, 24 Dis: Seorang wanita meninggal dunia apabila kereta Proton Persona yang dinaikinya hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh pembahagi jalan di Lebuhraya Pan Borneo, Jalan KJD Jikang, dekat sini, petang tadi.
Kemalangan pada 6.10 petang itu mengakibatkan Sliviashima Selin, 19, maut di tempat kejadian akibat cedera parah.
Ketua Polis Daerah Julau, Deputi Superintendan (DSP) Andam Sulin berkata ketika kejadian, mangsa bersama suaminya dipercayai dalam perjalanan ke Sebangkoi.
“Setibanya di lokasi, kenderaan yang dinaiki mereka secara tiba-tiba hilang kawalan sebelum terlibat kemalangan kendiri,” katanya.
Beliau memberitahu, siasatan lanjut mendapati kereta itu terlanggar lopak air di Jalan KJD sebelum terbabas dan merempuh pembahagi jalan di sebelah kiri.
Katanya, suami mangsa yang berusia 20 tahun mengalami kecederaan di bahagian tangan dan badan dihantar ke Hospital Sarikei untuk rawatan susulan.
“Wanita itu yang cedera parah di bahagian kepala serta kaki disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Hospital Sarikei,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987. – TVS