SARIKEI, 19 Dis: Ular sawa merupakan senarai tangkapan tertinggi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei tahun ini dengan si batik itu kebiasaannya ditemui ‘tersesat’ di kediaman penduduk untuk perlindungan dan makanan.
Ketua BBP Sarikei, Penolong Penguasa Bomba Mahmudin Narudin berkata, walaupun ular sawa bukan spesies berbisa, kehadiran haiwan itu menimbulkan kebimbangan dan ketakutan dalam kalangan penduduk khususnya yang tinggal di kawasan berhampiran belukar dan hutan.
“Dalam pada itu, spesies kedua terbanyak pula ialah ular senduk, diikuti ular hijau daun. Kita memang kerap menerima aduan penduduk kehadiran dua spesies ini.
“Setakat ini, tiada laporan kecederaan atau kehilangan nyawa akibat patukan haiwan berbisa itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya berwaspada terhadap kehadiran ular berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu sejak kebelakangan ini.
Selain persekitaran katanya, cuaca juga merupakan salah satu penarik kehadiran haiwan berbisa itu untuk mencari tempat berlindung.
“Kita memang menerima banyak aduan orang ramai berhubung kemunculan ular di kawasan mereka. Aduan tertinggi ialah 20 kes masing-masing pada bulan Februari dan Mac,” jelasnya. – TVS