Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Foto Bernama

Dasar Pandang Ke Timur kini termasuk China – Anwar

ByBernama

KUALA LUMPUR, 19 Dis: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia yang sebelum ini hanya menjadikan Jepun dan Korea Selatan sebagai contoh model pembangunan ekonomi, kini turut berminat untuk belajar dari China.

“Kita perlu terbuka untuk menyemak semula sebarang dasar yang telah dilaksanakan selama 40 tahun,” katanya kepada Asahi Shimbun ketika ditemu bual di Tokyo pada 17 Disember.

Beliau merujuk kepada Dasar Pandang Ke Timur yang diperkenalkan Perdana Menteri keempat Tun (ketika itu Datuk Seri) Dr Mahathir Mohamad pada 1982 bagi mempelajari strategi pemodenan ekonomi terutamanya dari Jepun dan Korea Selatan.

“Saya tidak akan kata ‘Timur’ (dalam dasar itu) bermaksud Jepun dan Korea Selatan tanpa China. Sekarang, apabila kita menyebut ‘Pandang ke Timur’ ia adalah Timur (termasuk China),” kata beliau seperti dipetik oleh akhbar Jepun itu.

Anwar berkata, teknologi digital, keselamatan siber dan isu-isu lain sedang mengubah dunia dan Malaysia perlu mengembangkan dasar yang telah berusia puluhan tahun itu, sambil memelihara aspek-aspek yang masih memberi manfaat.

Pemimpin itu melakukan lawatan kerja lima hari ke Tokyo mulai 15 Dis bagi menghadiri sidang kemuncak sempena ulang tahun ke-50 persahabatan dan kerjasama antara Jepun dan ASEAN.

Malaysia menyokong dasar luar yang “teguh dan bebas” dan beliau berkata, negara akan berurusan dengan China bergantung kepada kepentingan Malaysia.

Anwar berkata, ketika beliau melawat Amerika Syarikat (semasa APEC 2023 baru-baru ini), beliau ditanya mengapa Malaysia terarah kepada China.

Beliau menjawab: “Kerana mereka melabur lebih banyak”.

Tetapi Anwar berkata, Malaysia akan tetap tegas berunding dengan China berhubung pertikaian wilayah di Laut China Selatan dan tidak membenarkan sebarang tindakan sepihak oleh Beijing.

Perdana Menteri juga menyifatkan Jepun sebagai “rakan strategik yang sangat penting”, sambil menyatakan hubungan Malaysia dengan Jepun harus diperluas di bawah dasar Pandang Ke Timur seperti berkongsi etika dan teknologi Jepun.

Menurut Asahi Shimbun, Jepun pada 16 Dis mengumumkan akan menyediakan peralatan untuk aktiviti amaran dan pengawasan bernilai 400 juta yen (US$2.82 juta), termasuk bot penyelamat dan dron kepada tentera Malaysia di bawah program bantuan keselamatan rasmi.

Anwar menekankan bahawa peralatan pertahanan itu untuk membantu Malaysia melindungi perairan wilayahnya dan ia tidak termasuk mana-mana kapal selam atau pesawat besar.

Menurut beliau lagi bantuan itu adalah untuk keperluan keselamatan.

Semasa lawatan itu, Malaysia dan Jepun telah meningkatkan hubungan dua hala kedua-dua negara kepada Perkongsian Strategik Komprehensif. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan