LIMBANG, 18 Dis: Tindakan sebuah keluarga yang telah berpindah awal ke rumah saudara menyelamatkan mereka dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Binjai di sini, awal pagi ini.
Ketua Bomba Zon Limbang, Ramlan Marajan berkata, sepasukan anggota bergegas ke lokasi kejadian yang jauhnya 23 kilometer dari balai sebaik menerima panggilan kecemasan jam 1.09 pagi.
“Setiba di lokasi, kebakaran melibatkan sebuah rumah satu tingkat telah terbakar hampir 90 peratus.
“Ketika kejadian rumah tersebut tiada berpenghuni dan menurut maklumat kesemua penghuni telah berpindah ke rumah saudara mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas Ramlan lagi, kebakaran itu hampir memusnahkan keseluruhan rumah berkenaan namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
“Punca kebakaran masih dalam siasatan dan operasi ditamatkan jam 3.23 pagi,” katanya. – TVS