Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Malaysia mula melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada March 2020 untuk membendung penularan COVID-19. Foto fail TVS.

COVID-19: Kerajaan tidak bercadang ulangi PKP

ByBernama

PUTRAJAYA, 18 Dis: Kerajaan tidak bercadang mengulangi sekatan yang pernah dilaksanakan sebelum ini seperti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) meskipun berlaku peningkatan kes COVID-19 ketika ini, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

“Buat masa ini, kita tak cakap tentang mengulangi PKP, sebab ada yang mula bertanya dalam ciapan X, banyak kegusaran di situ,” katanya dalam sidang media berhubung status COVID-19 terkini di sini hari ini.

Beliau berkata keadaan semasa di Malaysia masih terkawal dan tidak membebankan fasiliti kesihatan sedia ada susulan pengukuhan Pelan Pengurusan COVID-19 Kementerian Kesihatan (KKM) yang menggariskan lima strategi utama.

Ia termasuk pengesanan awal kes COVID-19 dan varian SARS-CoV-2, pemerkasaan komuniti menerusi amalan TRIIS (uji, lapor, asing, maklum dan dapatkan rawatan) serta pendigitalan sistem kesihatan dalam pengurusan pandemik menerusi aplikasi MySejahtera.

“Pengesanan awal contohnya sistem amaran awal atau Heightened Alert System yang sentiasa kita pantau dan survelan sentinel di seluruh negara seperti ILI (Influenza Like Illness) dan juga survelan persekitaran air kumbahan dalam komuniti dan pintu masuk antarabangsa,” katanya.

Kes COVID-19 yang dilaporkan pada Minggu Epidemiologi (ME) ke-50 iaitu dari 10 hingga 16 Dis adalah sebanyak 20,696 kes iaitu peningkatan 62.2 peratus berbanding 12,757 kes pada ME49.

Dzulkefly berkata majoriti kes atau kira-kira 97 peratus merupakan kategori satu (tiada gejala) dan dua (gejala ringan), dengan sebanyak 28 kes kematian dilaporkan.

Menurut Dzulkefly, KKM dan agensi bukan KKM seperti hospital pengajar, hospital tentera dan fasiliti swasta juga bersedia untuk menghadapi sebarang peningkatan jumlah kedatangan dan kemasukan pesakit ke wad.

“Kami bersedia untuk itu akan kemungkinan peningkatan mendadak atau ledakan seperti itu. KKM juga sedang pantau rapi kapasiti hospital menerusi unit pengurusan katil dan dari segi rawatan pesakit,” katanya.

Beliau turut menyarankan golongan komorbid seperti mereka yang mempunyai penyakit darah tinggi, diabetes dan kanser agar melakukan ujian kendiri COVID-19 sekiranya bergejala dan melaporkannya dalam aplikasi MySejahtera.

Dzulkefly berkata angka kes dan kematian menjadi tidak sah sekiranya warga Malaysia tidak melaporkan kes dalam MySejahtera.

Beliau turut mengingatkan orang ramai agar sentiasa mengamalkan langkah pencegahan termasuk memakai pelitup muka di kawasan awam dan tertutup, mengelakkan kawasan sempit dan sesak serta mengambil vaksin COVID-19. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment


Berita Berkaitan