MIRI, 17 Dis: Budaya kaum Cina yang amat menekankan aspek pendidikan wajar dicontohi dan menjadi ikutan masyarakat lain, kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Katanya, banyak lagi perkara lain yang boleh dipelajari daripada cara hidup masyarakat Cina, baik dari segi cara bekerja malahan amalan budaya mereka.
“Dalam ajaran Islam juga, Nabi Muhammad SAW pernah menuntut pengikutnya untuk menimba ilmu dari China kerana Tamadun Cina telah wujud lebih daripada 5,000 tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Makan Malam bersempena Persidangan Klan Xu Sedunia ke-20 di sini, malam tadi.
Tambahnya, penekanan dalam aspek pendidikan juga berkait rapat dengan aspek pembangunan bakat dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) Sarawak.
“Di Malaysia, hanya Sarawak sahaja yang mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersatu (UEC) kerana ini membolehkan anak-anak kita untuk menyambung pelajaran mereka.
“Saya juga berharap menjelang 2026, Sarawak mampu untuk menyediakan pendidikan percuma kepada pelajar Sarawak di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) awam dan swasta milik negeri,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Abang Johari juga menyaran pelajar daripada kaum lain mempelajari Mandarin untuk meningkatkan daya saing dan menembusi ekonomi kedua terbesar itu.
“Apabila kita fasih berbahasa Mandarin selain Bahasa Inggeris, maka kita boleh bawa kemajuan kepada negeri,” jelasnya. -TVS