Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Seri Nancy Shukri bersalaman dengan para tetamu pada Majlis Apresiasi Agensi di Kuching, malam ini. Foto Hafeezzur Muzamir (TVS)

Tribunal Antigangguan Seksual bermula Disember ini – Nancy

ByHafeezzur Muzamir

KUCHING, 15 Dis: Tribunal berkaitan Akta Antigangguan Seksual akan bermula Disember ini, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri.

Menurutnya, ia akan bermula setelah ahli tribunal dilantik sepenuhnya dengan simulasi turut dijangka dilakukan pada bulan ini.

“KPWKM telah melancarkan Program Jerayawara Advokasi Akta Antigangguan Seksual di setiap negeri yang telah meningkatkan kesedaran masyarakat dan kerjasama strategik dengan agensi kerajaan dan swasta.

“Ini telah membawa kepada peningkatan laporan kes gangguan seksual, dengan 1,213 kes dilaporkan kepada PSSS berbanding 477 kes kepada PDRM pada tahun 2022,” katanya berucap pada Majlis Apresiasi Agensi di sini, malam ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita, Dr Nur Wan Ibtisam Wan Ismail.

Nancy turut menyentuh mengenai kejayaan kementeriannya sepanjang tahun ini antaranya penganjuran Program Wanita Bangkit@MyKasih Kapital yang telah memberi impak kepada 7,930 wanita di seluruh negara dengan 5,767 daripadanya adalah dari Sarawak.

“Program ini berjaya menarik minat pihak swasta untuk memberi tajaan kiosk perniagaan kepada peserta.

“Selain itu, Kesedaran Reproduktif Wanita (WCare), termasuk Program Saringan Kanser Serviks dan Subsidi Ujian Mamogram yang memberi manfaat kepada 69,938 wanita di seluruh negara.

“Program ini mencatat rekod dengan 1,012 saringan kanser serviks dalam satu hari di Sarawak,” jelasnya.

Nancy menambah, dari segi bantuan kebajikan pula, KPWKM telah menyalurkan bantuan sejumlah RM2.266 billion bagi membantu 531,439 kes yang memerlukan bantuan sehingga November 2023.

Menjelang 2024, beliau berkata, KPWKM berazam untuk memperluas inisiatif termasuk memfokuskan kepada industri penjagaan.

“Untuk kaum wanita, KPWKM berazam untuk meningkatkan penyertaan tenaga kerja wanita, sejajar dengan hasrat Perdana Menteri untuk mencapai kadar penyertaan 60 peratus dalam tempoh kurang 10 tahun,” ujarnya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan