Search
Close this search box.
Sarawak merekodkan jumlah banjir tertinggi dengan 242 kejadian pada 2022. Foto fail APM

Kejadian banjir catat penurunan pada tahun lepas – DOSM

ByBernama

KUALA LUMPUR, 15 Dis: Insiden banjir menurun kepada 983 kejadian pada 2022 berbanding 1,057 pada tahun sebelumnya, menurut Statistik Alam Sekitar 2023 dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin dalam kenyataan hari ini memaklumkan Sarawak merekodkan jumlah banjir tertinggi dengan 242 kejadian, diikuti Kedah (108) manakala Terengganu dan Selangor, masing-masing 107 kejadian.

“Jumlah mangsa yang terjejas akibat bencana iaitu banjir, ribut, tanah runtuh dan kebakaran menurun kepada 192,707 orang berbanding 208,643 orang pada 2021. Bilangan pusat pemindahan sementara juga berkurangan kepada 1,498 berbanding tahun sebelumnya (1,778),” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata Malaysia mengalami kesan La Nina pada 2022, antaranya cuaca lembap yang memberi kesan langsung kepada alam sekitar dengan hujan tahunan di 22 stesen menunjukkan peningkatan antara 26 milimeter (mm) sehingga 1,749.4 mm.

Kesan La Nina juga menyebabkan peningkatan bacaan bilangan hari kilat dengan Stesen Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang merekodkan bilangan hari kilat tertinggi pada 2022 iaitu 340 hari, diikuti stesen Subang (307 hari) dan stesen Melaka (273 hari).

Mohd Uzir berkata cuaca hujan turut menyebabkan pembiakan nyamuk Aedes meningkat sekali gus mengakibatkan peningkatan kes demam denggi dengan ketara iaitu 150.9 peratus kepada 65,987 kes pada 2022 berbanding 26,301 kes pada 2021.

Selangor mencatatkan kes tertinggi dengan 37,502 kes berbanding 15,712 kes pada tahun sebelumnya, diikuti Sabah (7,092 kes) dan Kuala Lumpur termasuk Putrajaya (6,714 kes). – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment


Berita Berkaitan