KOTA SAMARAHAN, 15 Dis: Kebergantungan kepada tenaga buruh asing dalam melaksanakan tangkapan ikan di laut dalam antara indikator punca prestasi tangkapan ikan merosot.
Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Faiz Fadzil berkata Sarawak masih menggunakan khidmat warga asing dalam melaksanakan operasi tangkapan ikan.
“Kebanyakan pemain industri perikanan kita yang mempunyai kapal, mereka bergantung kebanyakannya dengan pekerja asing,” katanya pada sidang media sempena lawatannya ke Pelabuhan Perikanan LKIM Tanjung Bako (PPLTB) di sini, hari ini.
Menurutnya, antara punca lain penurunan prestasi Pelabuhan Perikanan LKIM ekoran kekurangan jumlah kapal.
“Apabila berlaku beban kewangan kepada syarikat swasta dan pemain industri terutamanya ketika PKP, ia memberi kesan terhadap kemampuan kewangan syarikat-syarikat bot ikan.
“Itulah yang memberi kesan kepada kekurangan vesel dan seterusnya kekurangan pendaratan ikan,” ujarnya.
Setakat November lepas, nilai pendaratan ikan ialah RM 7,696,104.72 dengan pendaratan dari 40 kapal berbanding tahun 2020 sebanyak RM13,350,733.57 dengan pendaratan dari 68 kapal. – TVS