KUCHING, 14 Dis: Kerajaan yang baik adalah kerajaan yang menjaga kebajikan semua kaum dan agama, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang, Dato Lo Khere Chiang.
Itu yang dilakukan Kerajaan Sarawak yang merupakan satu-satunya negeri mempunyai Unit Hal Ehwal Agama-agama Lain (UNIFOR) bagi menjaga kebajikan agama lain selain mempromosikan perpaduan.
“Hanya di Sarawak, kita mempunyai UNIFOR (dan) hanya di Sarawak (kerajaan) GPS menjaga (kebajikan) agama lain selain Islam dan kita tidak dapat menemuinya di mana-mana (negeri lain) di Malaysia,” katanya berucap pada Upacara Malam Pembukaan Neon Trend Market, Karnival Krismas di sini, malam tadi.
Neon Trend Market yang beroperasi di tempat letak kereta, Bangunan Lee Ling Height, Jalan Penrissen merupakan bazar jualan makanan berkonsepkan pasar malam. Ia beroperasi setiap Khamis hingga Ahad bermula 5 petang hingga 11 malam.
Khere Chiang berkata lagi, Sarawak bertuah kerana perbezaan kaum dan agama bukan penghalang perpaduan, malah setiap perayaan diraikan bersama-sama.
“Saya ingin mengingatkan kepada semua, kita tidak seharusnya ambil mudah (apa yang telah dikecapi),” katanya.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas baru-baru ini berkata Kerajaan Sarawak menerusi UNIFOR telah menyalurkan peruntukan RM333,118,000 kepada rumah ibadat bukan Islam di seluruh negeri ini sejak 2017.
“Kerajaan GPS sentiasa menyokong dan mengambil berat tentang keperluan dan kebajikan agama bukan Islam di negeri ini,” katanya dipetik menerusi siaran berita di portal TVS pada 4 Disember. – TVS