Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah berkata ibu bapa boleh menggunakan terlebih dahulu sijil kelahiran untuk sebarang urusan. Foto: Bernama

JPN cetak 160,000 MYKID, serah kepada pemohon berperingkat – KDN

ByBernama

KUALA LUMPUR, 13 Dis: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sedang mencetak 160,000 kad pengenalan diri kanak-kanak bercip (MyKid) yang tertunggak sejak Oktober lepas dan akan diserahkan kepada pemohon secara berperingkat sebaik proses cetakan selesai.

Sehubungan itu, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah berkata ibu bapa atau penjaga boleh menggunakan terlebih dahulu sijil kelahiran untuk sebarang urusan dengan pihak kerajaan mahupun swasta, sementara menunggu MyKid diperoleh.

“Ini kerana sijil kelahiran merupakan satu dokumen pengenalan diri yang sah dikeluarkan kerajaan dan agensi kerajaan serta swasta juga telah dimaklumkan untuk mengutamakan penggunaan sijil kelahiran sementara menunggu MyKid.

“Kementerian Dalam Negeri melalui JPN sentiasa komited untuk menyelesaikan isu tunggakan permohonan MyKid ini,” katanya ketika sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Senator Datuk Aziz Ariffin yang ingin mengetahui status terkini penangguhan pengeluaran MyKid ekoran masalah bekalan mikrocip dan inisiatif kerajaan bagi memastikan masalah itu dapat diselesaikan.

Shamsul Anuar turut memberi jaminan bahawa isu MyKid itu tidak akan berulang pada tahun hadapan memandangkan JPN ketika ini sedang melaksanakan proses perolehan bekalan sebanyak tiga juta kad pengenalan diri itu bagi menampung keperluan.

“JPN telah melaksanakan pelbagai usaha dan untuk makluman, kita sudah menyelesaikan 140,000 MyKid yang tertunggak bagi 2021 dan 2022… kita ada baki lebih kurang 15,000 MyKid masih belum dicetak dan dijangka selesai pada hujung bulan ini.

“Bagi 2023, perolehan bekalan MyKid dalam proses iaitu sebanyak tiga juta yang kita akan sediakan untuk tampung keperluan kerana dianggarkan berdasarkan kebiasaan, kadar kelahiran setahun antara 400,000 hingga 500,000 keperluan. Kita jangka selepas isu ini selesai, mulai 2024 masalah ini tidak akan timbul lagi,” katanya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment


Berita Berkaitan