BUKIT MERTAJAM, 11 Dis: Polis berjaya menyelamatkan seorang wanita yang dikurung dan dipercayai akan dihantar ke sebuah negara jiran untuk bekerja dengan sindiket penipuan dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Sanctuary, Machang Bubok di sini, Rabu lepas.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, ACP Tan Cheng San berkata, serbuan dilakukan selepas pihaknya menerima maklumat berkaitan seorang wanita berusia 22 tahun dikurung di rumah itu sejak beberapa hari lepas oleh sindiket pemerdagangan manusia.
“Serbuan pada 5.45 petang itu menahan seorang lelaki berusia 34 tahun sebelum menyelamatkan wanita berkenaan.
“Siasatan awal mendapati lelaki itu yang bekerja sendiri, sedang menguruskan mangsa untuk dihantar ke negara jiran bagi bekerja sebagai operator dengan satu sindiket penipuan dalam talian,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Beliau berkata, polis turut merampas dua kereta, sebuah komputer riba serta pelbagai peralatan berkaitan kegiatan pelacuran seperti kondom serta tisu.
Tan berkata, lelaki itu direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 12Â Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 termasuk mengesan beberapa individu dipercayai terlibat dalam rangkaian sindiket itu.
“Polis menasihatkan orang ramai terutama mereka yang ditawarkan pekerjaan di luar negara dengan gaji yang lumayan supaya membuat semakan terlebih dahulu kerana bimbang menjadi mangsa sindiket penipuan atau pemerdagangan manusia,” katanya.
Difahamkan wanita itu ditawarkan pekerjaan di negara jiran dengan gaji lumayan oleh rakan kepada lelaki ditahan dan suspek kononnya mahu menguruskan pasport mangsa dengan mengurungnya di rumah itu sebelum menghantarnya ke luar negara. – TVS