Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Abdullah Saidol bersama penari ngajat cilik, Dion Dass pada Majlis Penghargaan dan ‘Moving Forward’, Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) di Kuching pada Jumaat malam. Foto: Saibi Gi (TVS)

‘Premier Sarawak mahu masyarakat faham Belanjawan Sarawak 2024 untuk mereka’ – Abdullah

ByLuqman Muhammad

KUCHING, 9 Dis: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mahu rakyat memahami manfaat yang mereka perolehi daripada Belanjawan Sarawak 2024 yang diluluskan di Dewan Undangan Negeri Sarawak baru-baru ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol berkata Premier juga mahu masyarakat Sarawak memahami dan diyakini bahawa antara objektif meluluskan undang-undang Ombudsman adalah untuk memastikan belanjawan besar berjumlah RM12.363 bilion diurus dengan berintegriti, cekap dan berhemah.

Berucap pada Majlis Penghargaan dan ‘Moving Forward’, Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) di sini pada Jumaat malam, sehubungan itu beliau menyeru warga kerja UKAS, TVS dan media lain berperanan dalam memastikan jurang pemahaman masyarakat tentang agenda dan aktiviti kerajaan dirapatkan.

Menerusi Belanjawan Sarawak 2024, sejumlah 70 peratus diperuntukkan untuk tujuan pembangunan pada tahun hadapan, manakala sebahagian besar dari dana berkenaan akan dimanfaatkan untuk kawasan luar bandar.

“Pelbagai kemudahan diberikan contohnya, pemberian komputer riba kepada para pelajar yang layak, Kenyalang Gold Card dan lain-lain yang sudah pasti memanfaatkan rakyat,” katanya.

Dewan Undangan Negeri Sarawak yang bersidang pada 20 hingga 29 November lepas meluluskan Undang-undang Ombudsman 2023, Alam Sekitar (Pengurangan Pelepasan Rumah Hijau) 2023, pindaan Pengagihan Gas, pindaan Elektrik dan Belanjawan 2024.

Abdullah juga menjelaskan bahawa sesi bengkel dan taklimat yang diadakan antara seksyen-seksyen UKAS adalah untuk mengukuh budaya kerja yang lebih produktif dan proaktif dalam kalangan kakitangan unit berkenaan.

Memandangkan Premier bercadang untuk menyemak skim gaji dan faedah warga perkhidmatan awam Sarawak, beliau menyeru kakitangan UKAS untuk bertindak balas dengan mempamer dan membuktikan tahap mutu corak kerja yang profesional dan berkualiti.

Selain menyalur maklumat sahih dan mudah difahami kepada masyarakat, beliau juga memohon wargakerja UKAS terutama yang sering bertugas di lapangan agar sentiasa peka dan bersikap terbuka menerima aduan-aduan atau melapor setiap keluhan serta keresahan masyarakat kepada kepimpinan kerajaan.

“Maklumat atau teguran yang konstruktif dari masyarakat adalah penting untuk memastikan setiap perancangan dan pelaksanaan initiatif kerajaan mencapai sasaran untuk mensejahterakan masyarakat,” katanya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment


Berita Berkaitan