SARIKEI, 9 Dis: Polis Sarawak mempergiatkan kempen untuk meningkatkan kesedaran penduduk luar bandar terhadap pelbagai ancaman jenayah termasuk ‘scammer’ dan masalah penyalahgunaan dadah dalam kalangan generasi muda.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Dato Mancha Ata, berkata kempen bergerak itu bukan hanya meliputi kawasan kampung sebaliknya rumah panjang yang jauh di kawasan pedalaman.
Menurutnya, penganjuran program yang melibatkan penyertaan komuniti setempat seperti di Rumah Sibar, Ulu Sarikei akan diteruskan dari semasa ke semasa.
“Program tidak hanya tertumpu pada isu penipuan dalam talian, tetapi juga meliputi jenayah lain seperti dadah dan sebagainya.
“Hari ini, kita menyaksikan pelbagai bentuk penipuan dilakukan hingga mengakibatkan jumlah kerugian yang bukannya sedikit.
“Mangsanya pula tidak mengira usia dan latar belakang kerjaya termasuk penduduk kampung,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menyempurnakan Majlis Penutupan Kempen Pencegahan Jenayah Komersil dan Pameran, Mempromosi Semak Mule Serta Pusat Respon Scam Kebangsaan (NSRC) di Rumah Sibar Lubok Lemba, di sini, hari ini.
Beliau menambah usaha bersepadu itu amat penting bagi melindungi komuniti setempat selain memastikan kesejahteraan mereka sentiasa terjamin.
Dalam perkembangan berkaitan, Mancha juga mengingatkan masyarakat agar sentiasa berwaspada daripada mangsa penipuan.
“Jika bercakap tentang keldai akaun, kita memang ada terima laporan namun untuk di Sarawak jumlah kes masih terkawal.
“Bagaimanapun, kes berkaitan jenayah komersil menunjukkan trend meningkat dalam tempoh 11 bulan pertama tahun ini,” ujarnya. – TVS