KUCHING, 9 Dis: Program MINTRED Connects mengangkat Sarawak di pentas antarabangsa terutama dalam dimensi pelaburan asing.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, ini kerana program mempromosikan pelaburan dan jangkauan perdagangan di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED) itu telah menjadi platform bagi menarik minat pelabur yang berminat meneroka peluang pelaburan di Sarawak.
âLokasi Sarawak yang terletak secara strategik dalam pasaran Asia juga menjadikan negeri itu berada pada kedudukan yang baik menjadi pintu masuk pelabur berpotensi dari United Kingdom (UK) dan Eropah menembusi pasaran untuk produk dan perkhidmatan.
âJadi, kami (kerajaan Sarawak) mengalu-alukan semua pelaburan dan kerjasama dalam enam sektor keutamaan yang merangkumi sektor pembuatan, pertanian komersial, pelancongan, perhutanan, perlombongan dan perkhidmatan,â katanya menerusi satu laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) pada Jumaat.
Ujar beliau lagi, kerajaan negeri juga berharap agar institut pengajian tinggi dari UK dapat meneroka peluang di Sarawak kerana lokasinya yang strategik.
Awang Tengah menambah, ini penting bagi mempercepatkan pertumbuhan ekonomi, pendidikan berkualiti, inovasi dan kreativiti dalam pembangunan modal insan yang akan memacu fasa pembangunan ekonomi Sarawak ke tahap seterusnya
Untuk rekod, nilai perdagangan Malaysia dengan UK bernilai RM17.57 bilion pada 2022, manakala perdagangan Sarawak dengan UK pula bernilai RM150.7 juta pada tahun sama.
Angka perdagangan sederhana antara Sarawak dan UK menunjukkan terdapat peluang untuk lebih banyak aktiviti rentas sempadan dalam perdagangan barangan dan perkhidmatan. â TVS