Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Rakyat Malaysia secara umumnya bersetuju bahawa bayaran balik pinjaman PTPTN adalah satu tanggungjawab, akauntabiliti dan keadilan yang perlu dipenuhi oleh para peminjamnya. Foto hiasan

Rakyat setuju bayaran balik PTPTN adalah tanggungjawab yang perlu dipenuhi

ByBernama

KUALA LUMPUR, 8 Dis: Rakyat Malaysia secara umumnya bersetuju bahawa bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) adalah satu tanggungjawab, akauntabiliti dan keadilan yang perlu dipenuhi oleh para peminjamnya.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mohammad Yusof Apdal berkata maklum balas itu diperoleh daripada penganjuran Hari Terbuka Pendidikan Tinggi yang berlangsung pada 23 Okt lepas.

“Malangnya kita berdepan dengan keadaan ramai yang tidak bertanggungjawab, yang menyebabkan tidak ada keadilan. Maknanya dia dah pinjam dahulu untuk belajar, bila dia dah berjaya dan dah ada kerja, dia tak bayar.

“Jadi ini menimbulkan masalah bukan sahaja kepada PTPTN yang terpaksa menanggung hutang yang besar malah yang lebih dahsyat, dia mengganggu peluang orang lain yang nak meneruskan pelajaran,” katanya semasa menjadi tetamu program Ruang Bicara terbitan Bernama TV malam tadi.

Justeru, beliau menggalakkan orang ramai untuk hadir ke Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil mulai hari ini hingga Ahad bagi mendapatkan khidmat konsultansi untuk menguruskan pembayaran selain menikmati diskaun bayaran balik sehingga 15 peratus.

“Kerajaan telah meluluskan diskaun ini bermula 14 Okt 2023 hingga 31 Mac 2024 namun masih ramai yang tidak mengambil peluang ini. Bagi pengunjung yang membuat bayaran semasa program berlangsung, ada hadiah istimewa yang diberikan selain diskaun.

“Selain diskaun PTPTN, urusan pembukaan akaun serta penambahan deposit simpanan SSPN juga turut disediakan,” katanya.

Mengenai tawaran secara terus bagi kemasukan ke universiti awam, politeknik dan kolej komuniti terpilih, Yusof berkata bagi calon lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang belum mendapat tempat pengajian boleh hadir ke reruai Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

“Sila bawa bersama kad pengenalan dan salinan SPM bagi kemasukan ke Program Sepenuh Masa Sesi II 2023/2024. Bagi calon yang tiada SPM dan berminat untuk sambung belajar juga dialu-alukan untuk hadir ke reruai KPT

“… sebab di sana kita ada program di bawah Kolej Komuniti yang kita namakan sebagai Pembelajaran Sepanjang Hayat, ini juga akan berikan peluang kepada mereka yang tiada kelulusan minimum untuk mendapatkan peluang kedua di bawah program Kolej Komuniti,” katanya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment


Berita Berkaitan